Tuesday, 27 December 2011

Cakap serupa bikin.........II


6 syarikat minat labur RM750j




Lagi firma asing buka operasi di Taman Bioteknologi Bio-Xcell Nusajaya 

TAMAN Bioteknologi Bio-Xcell Nusajaya bakal menerima pelaburan asing baru berjumlah kira-kira RM750 juta apabila enam lagi syarikat industri bioteknologi dan penjagaan kesihatan global sudah menyatakan minat untuk membuka operasi di situ.

Ketua Eksekutif Malaysian Bio-XCell Sdn Bhd, Rizatuddin Ramli, berkata ketika ini pihaknya sedang mengadakan rundingan lanjut dengan syarikat berkenaan dan pengumuman berhubung pelaburan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas ia dimuktamadkan.
Katanya, RM750 juta itu adalah jumlah pelaburan awal yang dijangka dibawa masuk keenam-enam syarikat itu bagi membangunkan kemudahan dan teknologi masing-masing di taman bioteknologi berkenaan.

“Ketika ini, jumlah pelaburan terkumpul di taman teknologi ini sudah mencecah RM1 bilion. Pelaburan baru daripada enam syarikat itu mungkin tidak begitu tinggi, tetapi ia tetap memberi sumbangan positif kepada pelaburan keseluruhan taman bioteknologi ini.

“Kami masih berunding dan secara asasnya mereka bersetuju. Pelaburan itu akan membawa kami hampir kepada sasaran memiliki 15 peserta, sekali gus melengkapkan ekosistem bioteknologi taman ini.

Rizatuddin berkata, semua pelabur baru dipilih berdasarkan rancangan melengkapkan dan menyokong ekosistem bioteknologi di taman itu tanpa mewujudkan persaingan antara pelabur sedia ada dan pelabur berpotensi.
Katanya, kerjasama dan sinergi itu akan mewujudkan ekosistem bioteknologi yang baik dan lengkap untuk kemapanan industri menjana idea baru dan produk bioteknologi yang berkualiti.

“Taman ini hanya untuk peserta bioteknologi yang terbabit dalam industri dan penjagaan kesihatan. Konsep ini perlu dikekalkan untuk memelihara ekosistem masing-masing kerana kedua-dua industri ini bakal memerlukan kemahiran baru yang menjadi nadi utama menghasilkan produk bioteknologi untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Kami berharap akan memenuhkan kapasiti kawasan ini dalam fasa kedua iaitu dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, Insya-Allah apabila dibuka secara komersial pada 2013 mereka semua akan mula beroperasi di sana,” katanya.

No comments:

Post a Comment