Friday 16 December 2011

Pas dan UMNO bermain, siapa nak menang tunggu dan lihat


Bukti wujud pergolakan dalaman - Zahid
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kritikan terbuka dua pemimpin kanan Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Dr. Hasan Ali terhadap 'masalah' dalam parti itu membuktikan wujud pergolakan dalaman antara pejuang tulen Islam dan kelompok pemimpin yang sanggup tunduk kepada DAP.
Sambil melahirkan rasa sedih dan khuatir dengan nasib pejuang tulen Islam dalam Pas, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pihak tertentu cuba 'mengorbankan' politik Nasharuddin dan Hasan adalah bukti jelas Pas kini ditunggangi DAP.
"Kita tidak masuk campur dalam urusan parti pembangkang, tetapi sebagai orang Melayu sudah tentu kita khuatir dengan nasib Nasharuddin dan Hasan. Kita khuatir apabila ada tokoh dalam Pas yang mempertahankan perpaduan sesama bangsa dan Islam akhirnya menjadi mangsa politik.
"Namun, tentu sekali apa yang diperkatakan secara terbuka oleh dua tokoh Pas ini sebenarnya bukti wujud pergolakan dalaman. Apa yang disuarakan itu merupakan manifestasi ketidakpuasan hati mereka terhadap Pas yang kini menyimpang jauh daripada matlamat asal.
"Tindakan Nasharuddin dan Hasan ini cuma riak awal kerana tentu sekali ramai lagi pemimpin Pas dan ahli akar umbi parti yang bersandar kepada perjuangan Islam tulen tidak berpuas hati dengan perjuangan Pas yang kini tersasar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau mengulas pendirian serta kenyataan terbuka bekas Timbalan Presiden Pas dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu Selangor itu mengenai nasib mereka yang 'disingkir' secara halus oleh pihak tertentu dalam Pas ekoran lantang mempertahan Islam.
Berita mengenai Hasan menjadi hangat apabila sebuah portal berita propembangkang melaporkan kenyataan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib bahawa tokoh itu berkemungkinan besar akan digugurkan daripada menjadi calon pada pilihan raya umum nanti.
Nasharuddin juga dikatakan menerima nasib yang sama kerana banyak tindak-tanduk beliau yang menyokong perpaduan antara Melayu tidak disenangi oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sehingga kini hanya Dewan Pemuda Pas yang mempertahankan mereka.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, pergolakan dalaman Pas hanya menguntungkan DAP kerana ternyata parti itu bukan sahaja berjaya memaksa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggugurkan negara Islam dalam manifesto pembangkang, malah pemimpin yang tidak disukai juga boleh dikorbankan.
"Saya ingin ingatkan kepada rakan-rakan dalam Pas, cukuplah dengan apa yang berlaku agar keadaan dan kejadian sebegini tidak berulang lagi. Eloklah kembali semula ke pangkal jalan iaitu demi agama, bangsa dan tanah air sebagaimana perjuangan pemimpin terdahulu," katanya

No comments:

Post a Comment